Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Jadi kepada En Zaidi - tahniah kerana selamat melangsungkan pertunangan dan En Fauzi - tahniah kerana majlis pernikahan (telahan saya). Utk Cik Hajar juga, semoga Syawal 1430 ini menjadi kenangan manis sepanjang hidup!
Pagi raya amat sinonim dengan amalan menziarahi pusara mereka yang telah meninggalkan kita. Saya cukup menghormati dan mengkagumi kerelaan En. Zul dan keluarga yang sanggup bermusafir dari Johor ke Seberang Perai pada hari raya pertama, membawa bersama seorang nenek untuk menziarahi pusara suaminya. Semoga sedikit sebanyak ziarah itu dapat mengubati kerinduan seorang nenek terhadap arwah suaminya! Mudah-mudahan perjalanan jauh mereka dengan niat untuk menziarahi pusara arwah datuk yang lama ditinggalkan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.
Dalam kita bergembira menyambut hariraya, janganlah lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ramai anak yatim, ibu tunggal dan keluarga yang memerlukan bantuan. Alhamdulillah kita dikurniakan kecukupan rezeki. Saya selalu ingatkan diri sendiri, sebenarnya apa yang kita miliki bukan hak mutlak diri kita sendiri, ada bahagian untuk mereka yang fakir dan miskin. Mudah-mudahan kita tidak mengambil apa yang bukan menjadi hak kita.
Hari ini, esok dan lusa diberitakan sebagai hari puncak semasa ops sikap tahun ini. Kesesakan jalan raya mungkin akan berlaku lebih dari biasa. Oleh itu kepada para pengguna jalan raya sekelian - memandulah dengan berhemah - patuhi peraturan jalan raya. Pesanan saya - jangan susahkan pemandu lain dengan samada memandu terlalu laju atau terlalu perlahan. Orang selalu kata kelajuan boleh membunuh, tapi ada kalanya terlalu perlahan juga boleh membunuh, awalnya mungkin boleh membunuh kesabaran pemandu lain yang berderet-deret mengekori kenderaan yang dipandu perlahan (pada kadar kelajuan yang tak masuk di akal!). Ini mungkin akan diakhiri dengan aksi-aksi pemanduan bahaya oleh pemandu yang akan cuba memotong walaupun pada tempat yang kurang selamat dan akhirnya......
Akhir sekali, untuk kali keduanya dalam blog ini, sempena hari raya aidil fitri , saya memohon ampun dan maaf sekiranya ada kata-kata atau perbuatan saya yang menyinggung mana-mana pihak, terutama para tetamu di DWanzaHomestay. Kepada rakan-rakan pengusaha Homestay di sekitar Seberang Perai, saya juga mohon maaf jika ada kesalahan yang dilakukan samada disedari atau tidak.
Wan
D'WanzaHomestay
7 Syawal 1430H